Pada 23 Januari yang lalu, telah diwartakan bahawa projek pembangunan rumah mampu milik yang dinamakan ‘Residensi Wilayah’ berjumlah 10,000 unit bakal dibina di Kuala Lumpur bermula tahun ini yang dijangka siap dalam tempoh 3 tahun.

Menurut Menteri Khalid Abdul Samad, Residensi Wilayah ini adalah versi yang ditambah baik daripada projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) iaitu projek yang dimulakan oleh kerajaan sebelum ini,

Kata beliau, rumah Rumawip bersaiz 800 kaki per segi dengan kepadatan seramai 1,200 orang per ekar manakala saiz rumah Residensi Wilayah adalah lebih besar sedikit dengan ukuran 900 kaki per segi beserta kepadatan hanya seramai 800 orang per ekar dengan harga jualannya tidak melebihi RM300,000 seunit.

Beliau memaklumkan bahawa projek pembangunan ini akan melibatkan kerjasama dari sektor swasta. Dalam pada itu, Kementerian tersebut sedang dalam proses memilih tanah yang sesuai yang dimiliki oleh DBKL bagi tujuan projek pembangunan ini.

Menurut beliau, projek ini adalah salah satu dari enam elemen penting dalam program Visi Wilayah Persekutuan 2019. Visi “Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’ ini dilancarkan pada 28 Januari lalu dengan memfokuskan enam elemen tersebut iaitu bandar yang bersih, keselamatan awam, kenderaan awam yang efisien, polisi sosio-ekonomi yang lestari, persekitaran hijau dan komuniti yang inklusif.

Tambahan lagi, ‘Medic Bus’dan pusat tuisyen percuma akan disediakan di Projek Perumahan Rakyat seperti yang dirancang oleh Kementerian termasuklah sebuah program pengenalan ikon remaja.

Dalam memastikan pemeliharaan persekitaran hijau, Kementerian mewujudkan usaha untuk mempergiat penggunaan bahan terbiodegradasi dan juga pendekatan usaha-sama bagi memelihara taman-taman awam. Bagi kebersihan bandar pula, kempen kesedaran akan dianjurkan bagi menggalakkan budaya mengamalkan kebersihan di kalangan penduduk Wilayah Persekutuan agar mereka tidak lagi bergantung kepada kerja-kerja pembersihan oleh pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, tambahan lampu dan juga kamera televisyen litar tertutup (CCTV) akan disediakan di kawasan yang strategik bagi memelihara keselamatan orang awam. Dalam pada itu, dalam usaha membentuk komuniti yang inklusif, pihak Kementerian telah menubuhkan sebuah Majlis Menteri-menteri di mana ahli-ahli Parlimen KL akan bertemu beliau dan pegawai kanan DBKL sebanyak empat kali seminggu bagi merangka perancangan dan pembangunan bagi wilayah tersebut.

Antara projek lain yang akan dilaksanakan oleh Kementerian tersebut adalah pembinaan monorel di Putrajaya, pengambil alihan pengurusan sisa pepejal dari SWCorp, pewartaan taman persekutuan di Bukit Kiara, permohonan cadangan bagi pembinaan jambatan baru dan terminal feri di Labuan serta menubuhkan semula Hab Halal di Labuan.

Sementara itu, Menteri Khalid berkata projek pembangunan semula bandar akan diteruskan dengan memfokuskan kepada bangunan-bangunan PPR yang lama di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, projek tersebut akan melibatkan bangunan flat 5-tingkat yang lama di mana ia akan dibangunkan semula dan diberikan kepada pemilik asal dengan percuma.

Tambah beliau lagi, tapak-tapak bangunan flat tersebut akan dibangunkan semula dengan membina bangunan apartment dengan menyediakan lebih banyak unit.

Beliau berkata, pihak Kementerian tidak mahu tapak PPR yang lama ini menjadi semakin terbiar dan mereka ingin menghidupkan semula bangunan-bangunan flat yang lama ini di mana pemilihan tapak bagi pembangunan semula ini akan diumumkan nanti.

Dalam pada itu, berkenaan isu Bangsar South dan juga Kerinchi, beliau berkata ia hanyalah sebuah salah faham berkaitan dengan nama kepada kawasan tersebut.

“Bangsar South adalah nama yang diberikan kepada pembangunan sebuah kawasan yang terletak di Kerinchi”, kata beliau.

Sumber rujukan : The Edge Market

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *