Membeli rumah sendiri adalah impian yang paling besar! Tapi bagaimana hendak kumpul duit? Sudah tentu banyak juga modal beli rumah ini. Jom! baca tips ini yang dikongsikan oleh Tuan Hafiz Alami, seorang Real Estate Negotiator dari Johor Bahru ini.

Setiap manusia di dunia ini mengimpikan tempat tinggal yang selesa. Tempat tinggal yang selesa memberi impak positif kepada hubungan rumahtangga, tumbesaran anak-anak dan bermacam lagi manfaat. Selesa yang dimaksudkan disini semestinya berbeza bagi setiap orang.

Apapun definisi selesa bagi anda, jika masih belum memiliki hartanah sendiri, maka berusahalah untuk memiliki rumah pertama. Memiliki dan tinggal di rumah sendiri adalah suatu pelaburan jangka panjang. Ianya juga membantu anda merasai ‘peace of mind’ kerana tidak perlu bimbang diarah keluar dari rumah yang diduduki sekarang sekiranya tuan rumah hendak menjual ataupun tidak lagi mahu menyewakannya kepada anda.

Ikuti 5 langkah mudah di bawah yang anda boleh lakukan untuk miliki rumah sendiri :

1. Elakkan beli kereta mahal. Tidak dinafikan mempunyai kereta adalah suatu keperluan di masa kini. Akan tetapi, anda mempunyai pilihan dan cara untuk memiliki kereta. Jika keluarga anda mempunyai kereta lebihan, boleh minta izin daripada keluarga untuk menggunakannya dahulu. Jika tiada, anda boleh membeli kereta terpakai yang tidak terlalu mahal. Minta pendapat ahli keluarga atau kawan-kawan yang arif mengenai kereta terpakai. Seterusnya, jika tidak selesa menggunakan kereta terpakai, boleh juga beli kereta baru yang semestinya kos penyelenggaraannya kelak lebih rendah berbanding kereta terpakai. Sebaiknya, beli kereta baru yang ansuran bulanannya tidak melebihi 15% daripada pendapatan anda.

2. Elakkan buat pinjaman peribadi. Walau apa pun tujuannya, ini mesti dielakkan sama sekali. Jika anda pandai mengawal perbelanjaan harian, walau apa pun yang hendak dilakukan, sebenarnya anda tidak memerlukan pinjaman peribadi. Jika hendak bernikah dan memerlukan wang yang agak banyak, menyimpan lah. Jika hendak beli kereta baru dan perlu bayar deposit, menyimpan lah. Pinjaman peribadi ini adalah jerat dan akan membebani anda dimasa akan datang. Ia merupakan nikmat sementara sahaja!

3. Buat bayaran PTPTN jika ada. Apa sahaja pekerjaan yang dikecapi pada waktu ini adalah daripada pinjaman yang telah diberikan melalui PTPTN. Setiap bulan setelah mendapat gaji, bayarlah seperti yang telah ditetapkan sehingga habis. Komitmen bayaran bulanan ini akan menambah baik ‘scoring’ anda untuk kelulusan permohonan pinjaman bank.

4. Jangan tunggu gaji besar. Alasan yang sering diberikan adalah gaji masih kecil, nak tunggu gaji naik dahulu baru nak beli rumah. Ada benarnya perkara ini, sekiranya gaji terlalu sedikit sehingga tidak dapat menampung perbelanjaan asas. Yang banyak menjadi masalah sebenarnya adalah komitmen lain yang terlalu besar yang sebenarnya boleh dikurangkan atau dielakkan sama sekali. Komitmen seperti langganan pasca bayar telefon bimbit, langganan saluran televisyen berbayar, pembelian barangan dan makanan mewah dan sebagainya. Berbelanjalah hanya untuk keperluan sahaja, bukan kemahuan.

5. Menabung. Langkah ini adalah yang paling penting sekali. Jika tidak boleh menabung, tidak mungkin anda boleh membeli rumah. Ini kerana untuk membeli rumah terutama rumah sub-jualan, anda memerlukan duit tunai sekurang-kurangnya 10% daripada harga rumah. Ini adalah untuk deposit, bayaran khidmat guaman, bayaran juru nilai dan takaful. Bayangkan, hendak membeli rumah berharga RM200,000 pun, tunai minimum yang perlu ada di tangan adalah sebanyak RM20,000. Perlu diingat, mungkin anda berjaya mengikuti 4 langkah-langkah di atas, tetapi jika tidak berjaya menabung, pembelian rumah pertama anda akan menjadi sangat sukar. Macam-macam teknik menabung yang boleh anda laksanakan. Contohnya seperti membuat tabung mengikut warna duit kertas. Ataupun, berdisiplin untuk mengasingkan sebahagian gaji yang diperoleh setiap bulan ke dalam akaun lain. Minimum yang dicadangkan ialah 10%, jika lebih banyak semestinya lebih baik. Jika tidak mampu 10%, simpan apa-apa jumlah yang anda mampu. Pokok pangkalnya, mesti mula menabung!

Pasangkan niat murni untuk memiliki rumah pertama. Bukannya saya mengajak anda mengejar dunia semata-mata, tetapi memiliki rumah pertama dan mampu membayarnya pun adalah suatu tanda aras di mana anda celik kewangan dan mampu berdikari.

Artikel ini telah dipaparkan di FB Page : ISMA Iskandar Puteri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *