Bangunan Kompleks Sun di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang telah berusia 40 tahun kini dinamakan Menara Hai-O sebagai nama rasminya yang baru. Bangunan 20 tingkat ini mula dibina pada tahun 1978 dan mempunyai beberapa tingkat ruang pejabat dan 220 unit apartment di atasnya. Ia merupakan salah sebuah bangunan pencakar langit yang terawal dibina di Malaysia.

Menurut Tan Keng Kang, pengarah urusan Hai-O Group, sejak tahun 1996 lagi bangunan Kompleks Sun ini telah menjadi ruang operasi Syarikat Hai-O Group. Sebanyak RM4 juta telah dibelanjakan oleh syarikat tersebut bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan tersebut yang telah berjalan selama 7 bulan.

Ibu pejabat Hai-O Group juga pernah beroperasi di bangunan ini sebelum ibu pejabat mereka disiapkan di Klang pada tahun 1997. Sebanyak 80% dari lot-lot komersial dan tempat meletak kenderaan di bangunan ini adalah milik syarikat tersebut, sementara lot yang lain adalah milik individu-individu persendirian.

Hampir kesemua lot yang dimiliki oleh syarikat tersebut telah disewakan. Setelah 20 tahun bangunan ini menjadi tempat syarikat tersebut beroperasi di samping memiliki sebanyak 80% saham, Hai-O Group mahu menjenamakan semula bangunan ini, seperti yang diberitahu Tan ketika majlis pelancaran rasmi Menara Hai-O 10 Januari lalu.

Dalam pada itu, bangunan ini telah menyimpan banyak peristiwa yang pernah menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar pada tahun-tahun sebelum ini. Terawal sebelum ini pernah berlaku peristiwa melibatkan kumpulan gengster di dalam dan sekitar bangunan tersebut.
Dalam kejadian yang lain, telah berlaku kejadian di mana seorang wanita warga Filipina berumur 32 tahun maut selepas terjun dari tingkat 15 bangunan tersebut dipercayai cuba melarikan diri semasa polis melancarkan serbuan Op Khas Kompleks Sun pada 3 tahun lepas. Pada malam yang sama juga, seramai 154 orang dari 435 warga asing dibangunan tersebut ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen yang sah.

Selain itu, pada tahun 2014 telah berlaku sebuah letupan bom menyebabkan seorang joki kereta maut manakala 12 yang lain cedera. Berikutan kejadian tersebut, letupan bom tersebut disyaki berpunca dari pergaduhan antara 2 kumpulan gangster.
Kejadian terbaru pula melibatkan sebuah kereta dimana pemandunya tersalah menekan pedal minyak menyebabkan keretanya yang dipandunya terjunam dari tingkat 1 tempat meletak kenderaan dan menghempap tiga kenderaan lain.

Walaubagaimanapun, di sebalik segala peristiwa dan tragedi yang berlaku melibatkan bangunan tersebut, dengan penjenamaan semula sebagai Menara Hai-O diharapkan boleh mencipta permulaan yang baru bagi bangunan tersebut bersama dengan perlaksanaan pengubahsuaian dan usaha baik pulih.

Sumber rujukan : EdgeProp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *